:: 5 Tips Menetapkan Azam Mengikut Ajaran Islam



Assalamualaikum..rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan "Salam Maal Hijrah" wlpn dh agak terlambat..hee..mklumla bz skt smp xsmpt nk update blog (alasan~)...
Baiklah dikesempatan ini, ingin sy kongsikan satu artikel yg dihantar oleh iMotivasi ke email sy 2 3 hari yg lepas.

Ada banyak cara bagaimana untuk menetapkan azam tahun baru. Ada yang kata ia perlu sesuai dengan aliran semasa, perlu ngam dengan kapasiti Anda. Ada orang kata, azam kena realitik, bukan sekadar fantasi.
Bagi kita yang beragama Islam, wajarlah kiranya kita menetapkan azam sesuai dengan ajaran Islam.
Berikut adalah senarai 5 tips ringkas bagaimana menetapkan azam tahun baru, sesuai dengan ajaran Islam yang menjadi pegangan kita.
1. Niatkan Azam Itu Kerana Allah.
Niatkan azam Anda kerana Allah. Anda mahu capai azam yang Anda set kerana Allah. Tanamkan kepercayaan yang DIA mahu melihat Anda menjadi muslim serta muslimah berjaya supaya dengan kejayaan itu, Anda boleh ajak muslim dan dan muslimah lain untuk berjaya seperti Anda. Andalah menjadi bukti bahawa kejayaan adalah possible, bukan impossible. Anda menjadi bukti Allah buka jalan kepada sesiapa saja yang berusaha.

2. Anggap Kerja Keras Ke Arah Pencapaian Azam Sebagai Ibadah.
Usaha memburu kejayaan sebenarnya satu ibadah, yakni ibadah sunat. Tiap kali berusaha, niatkan kerana Allah supaya apa yang Anda buat menjadi ibadah. Moga apa yang Anda lakukan di balas dengan pahala, sebab menjadi ibadah. Moga dengan itu, jalan untuk Anda berjaya dipermudahkan, tanda keredhaan Allah kepada usaha Anda. Bekerja dan berusaha untuk mencapai apa jua azam adalah cara untuk Anda mendekati Tuhan. Tanpa niat, apa yang Anda lakukan tidak menjadi ibadah.

3. Lebihkan Hablum Minannas, Jangan Kurangkan Hamblum Minallah.
Apa yang jua yang Anda capai,pastikan Anda mendahulukan Yang Maha Esa. Berbaktilah kepada orang sekeliling supaya dengan itu Anda mendapat redha Allah. Set azam untuk berbakti kepada insan di sekeliling Anda. Erti takwa yang sebenar adalah rasa terdorong untuk berbakti kepada orang sekeliling sebanyak mungkin (hablum minannas) dalam masa yang sama tetap menjaga hubungan erat dengan Tuhan (hablum minallah). Pastikan azam Anda tu mendorong Anda untuk berbakti kepada orang sekeliling, supaya jalan untuk Anda mencapai azam Anda dibuka serta dipermudahkan.

4. Set Untuk Kebaikan Bersama.

Apa jua yang Anda mahu capai sebagai azam Anda, niatkan untuk kebaikan bersama bukan untuk kepentingan peribadi Anda seorang. Islam galakkan kita buat sesuatu untuk kebaikan bersama Anggap kejayaan yang Anda mahu capai adalah untuk kebaikan bersama. Jika Anda mahu menjadi suami cemerlang, niatkan untuk kebahagiaan isteri Anda dan untuk anak-anak Anda. Jika Anda mahu berjaya dalam perniagaan, niatkan kejayaan itu untuk kebaikan Anda, keluarga Anda dan untuk kebaikan pelanggan-pelanggan Anda. JIka Anda mahu berjaya dalam pekerjaan, niatkan untuk kebaikan Anda bersama rakan-rakan Anda, bukan bangga kerana Anda lebih berjaya daripada mereka.

5. Elak Dikuasai Ego, Elak Merasa Diri Lebih Bagus.
Jangan set azam semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Jangan set azam semata-mata untuk bermegah. Jangan set azam Anda pada orang simply untuk membuat mereka kagum pada Anda. Amalkan 4 tips di atas langkah demi langkah . Anda akan mempunyai dorongan motivasi untuk bergerak mencapai azam Anda. Tapi jika azam tu di set hanya untuk menunjuk-nunjuk, untuk bermegah, untuk bermewah-mewah, usaha Anda ke arah azam itu akan mengalami kesukaran.
Anda tak akan ada motivasi. Anda akan hilang semangat, hilang inspirasi. Anda akan tertekan. Anda tak mencapai satu apapun, Anda akan gagal, usaha lagi, gagal lagi. Jika Anda kerap gagal, pasti ada ‘something wrong’ dengan nawaitu Anda. Mungkin Anda mahu berjaya sebab Anda nak menunjuk-nunjuk kehebatan dengan rasa megah, bukan untuk berbakti.

20/12/10-Isnin-1.10PM

:: Untuk Jadi Hebat Tidak Perlu Jadi Orang Lain, Jadilah Diri Sendiri!



Seorang pemecah batu menghabiskan sepanjang siang di sebuah bukit, bermandi keringat mengerah seluruh kudrat memecahkan batu-batu pejal. Dia sering mendengus dan mengomel tentang kenaifan diri sendiri.
Di bawah limpahan terik sinar matahari yang membakar, sambil memegang penukul besinya dia melihat kepada matahari dan berkata pada dirinya sendiri, "Malangnya diri ini..Alangkah baik kalau aku dicipta sebagai matahari yang besar, hebat, tinggi penuh megah. Boleh melimpahkan cahaya dan membakar sesiapa yang aku suka."
Hatinya terus berbisik sambil melihat kepada matahari dengan penuh kagum. Sedang dia asyik berfikir tiba-tiba dia merasa keaadaan menjadi redup dan dingin. Apabila dia mendongakkan kepalanya, dia melihat ada gumpalanawan besar berwarna gelap sedang menutupi matahari.
"Wah, awan lebih hebat rupanya! Ia boleh memadam kekuatan cahaya matahari."
Dia mula berfikir tentang dirinya yang malang dan betapa bertuahnya menjadi awan.
"Alangkah hebatnya awan dengan ukurannya seperti raksasa, boleh berarak ke mana-mana dan mengalahkan sang matahari." tingkahnya dalam diri.
Matanya leka mengekori awan yang berarak megah dengan tubuhnya yang besar melitupi segalanya. Tiba-tiba awan tersebut terserak dan berpecah bila membelah bukit tinggi.
"Wah, bukit rupanya lebih hebat lagi! Ia berjaya memecahkan gumpalan awan."
Dia mula berfikir untuk jadi bukit yang gagah tersergam.
"Malangnya diriku ini dan alangkah baik sekiranya aku menjadi bukit yang berjaya mengalahkan awan dan menumpaskan matahari," gerutu hatinya sambil melihat kepada dirinya.
Tiba-tiba dia tersedar sesuatu yang dia tidak perasan selama ini, mukanya bercahaya, matanya berkaca-kaca: Rupa-rupanya bukit yang tersergam gagah ini, sebenarnya tewas kepada seorang pemecah batu.
"Dan pemecah batu itu ialah aku!"
Dengan penuh beertenaga dia melaungkan, "Aku sebenarnya lebih hebat daripada bukit, lebih gagah daripada awan, lebih kuat daripada matahari. Aku hanya perlu bersyukur atas apa yang telah diciptakan Tuhan untukku."
Kemudian dian terus menghentak batu dengan penuh bangga dan meneruskan kerjanya dengan penuh rasa kesyukuran. Dia tidak lagi mempedulikan terik matahari dan bebalnya kekerasan batu bukit tersebut.
Benar, manusia tidak akan melihat sebarang kebaikan pada dirinya, sekiranya tidak melihat dengan kaca mata syukur, redha dan qanaah. Sepanjang masa dihabiskan dengan mengagumi orang lain tetapi memandang rendah kepada diri sendiri. Manusia seperti itu tidak akan menemui kepuasan dan kedamaian hati selama-lamanya. Sebaliknya letih dan rasa terbeban kerana menelan rasa terkilan yang berpanjangan.

Justeru, untuk jadi manusia hebat kita tidak perlu jadi orang lain tapi jadilah diri sendiri. Bukalah kunci air kesyukuran, nescaya ia akan melimpahkan sifat redha dan qanaah beserta kekuatan sebenar seorang insan. Dalam masa yang sama kita mencari di manakah kelemahan yang perlu dikenalpasti agar boleh diungkai keluar. Dari situ kita akan mula meneroka kelebihan yang Allah anugerahkan tersembunyi dalam diri kita.
Yakinlah, bahawa Allah mencipta kita sebagai makhluk unik dengan sebaik-baik kejadian!

Firman Allah Taala :
"Yang demikian itu, ialah Tuhan yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Yang Mahaperkasa, Maha Penyayang. Yang memperindah segala sesuatu yang Dia ciptakan dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan roh (ciptaan)-Nya ke dalam (tubuh)nya dan Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagimu, (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur"...As-Sajdah:6-9

3/12/10-7.41am-Friday