:: Untuk Jadi Hebat Tidak Perlu Jadi Orang Lain, Jadilah Diri Sendiri!



Seorang pemecah batu menghabiskan sepanjang siang di sebuah bukit, bermandi keringat mengerah seluruh kudrat memecahkan batu-batu pejal. Dia sering mendengus dan mengomel tentang kenaifan diri sendiri.
Di bawah limpahan terik sinar matahari yang membakar, sambil memegang penukul besinya dia melihat kepada matahari dan berkata pada dirinya sendiri, "Malangnya diri ini..Alangkah baik kalau aku dicipta sebagai matahari yang besar, hebat, tinggi penuh megah. Boleh melimpahkan cahaya dan membakar sesiapa yang aku suka."
Hatinya terus berbisik sambil melihat kepada matahari dengan penuh kagum. Sedang dia asyik berfikir tiba-tiba dia merasa keaadaan menjadi redup dan dingin. Apabila dia mendongakkan kepalanya, dia melihat ada gumpalanawan besar berwarna gelap sedang menutupi matahari.
"Wah, awan lebih hebat rupanya! Ia boleh memadam kekuatan cahaya matahari."
Dia mula berfikir tentang dirinya yang malang dan betapa bertuahnya menjadi awan.
"Alangkah hebatnya awan dengan ukurannya seperti raksasa, boleh berarak ke mana-mana dan mengalahkan sang matahari." tingkahnya dalam diri.
Matanya leka mengekori awan yang berarak megah dengan tubuhnya yang besar melitupi segalanya. Tiba-tiba awan tersebut terserak dan berpecah bila membelah bukit tinggi.
"Wah, bukit rupanya lebih hebat lagi! Ia berjaya memecahkan gumpalan awan."
Dia mula berfikir untuk jadi bukit yang gagah tersergam.
"Malangnya diriku ini dan alangkah baik sekiranya aku menjadi bukit yang berjaya mengalahkan awan dan menumpaskan matahari," gerutu hatinya sambil melihat kepada dirinya.
Tiba-tiba dia tersedar sesuatu yang dia tidak perasan selama ini, mukanya bercahaya, matanya berkaca-kaca: Rupa-rupanya bukit yang tersergam gagah ini, sebenarnya tewas kepada seorang pemecah batu.
"Dan pemecah batu itu ialah aku!"
Dengan penuh beertenaga dia melaungkan, "Aku sebenarnya lebih hebat daripada bukit, lebih gagah daripada awan, lebih kuat daripada matahari. Aku hanya perlu bersyukur atas apa yang telah diciptakan Tuhan untukku."
Kemudian dian terus menghentak batu dengan penuh bangga dan meneruskan kerjanya dengan penuh rasa kesyukuran. Dia tidak lagi mempedulikan terik matahari dan bebalnya kekerasan batu bukit tersebut.
Benar, manusia tidak akan melihat sebarang kebaikan pada dirinya, sekiranya tidak melihat dengan kaca mata syukur, redha dan qanaah. Sepanjang masa dihabiskan dengan mengagumi orang lain tetapi memandang rendah kepada diri sendiri. Manusia seperti itu tidak akan menemui kepuasan dan kedamaian hati selama-lamanya. Sebaliknya letih dan rasa terbeban kerana menelan rasa terkilan yang berpanjangan.

Justeru, untuk jadi manusia hebat kita tidak perlu jadi orang lain tapi jadilah diri sendiri. Bukalah kunci air kesyukuran, nescaya ia akan melimpahkan sifat redha dan qanaah beserta kekuatan sebenar seorang insan. Dalam masa yang sama kita mencari di manakah kelemahan yang perlu dikenalpasti agar boleh diungkai keluar. Dari situ kita akan mula meneroka kelebihan yang Allah anugerahkan tersembunyi dalam diri kita.
Yakinlah, bahawa Allah mencipta kita sebagai makhluk unik dengan sebaik-baik kejadian!

Firman Allah Taala :
"Yang demikian itu, ialah Tuhan yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Yang Mahaperkasa, Maha Penyayang. Yang memperindah segala sesuatu yang Dia ciptakan dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan roh (ciptaan)-Nya ke dalam (tubuh)nya dan Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagimu, (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur"...As-Sajdah:6-9

3/12/10-7.41am-Friday

No comments:

Post a Comment